Selasa, 10 Jun 2014

HIPERHIDROSIS

Assalamualaikum warahmatullah....

Semoga berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah....

Pernah tak dengar hiperhidrosis?

Saya pun baru jer dengar istilah hiperhidrosis ni....

Kalau kawan-kawan semua nak tahu...jom kita baca artikel ni...

★★★★★★★★★★★★★★★★★★★★★★★★★★★★★★

Hiperhidrosis: Peluh Basah Menitik-Nitik

SOALAN 1:
Doktor, saya pemuda berusia 24 tahun, mengalami penyakit yang agak luar biasa berbanding insan normal lain. Sejak 10 tahun yang lalu, keadaannya tetap sama sahaja sehinggalah sekarang. Peluh yang berlebihan di telapak tangan dan kaki membuatkan saya tertekan.

Saya malu untuk bersalaman dengan kawan-kawan kerana ia bagaikan mengalir setiap masa. Kadangkala apabila berjabat tangan dengan sesiapa pun jua, pasti mereka akan mengelap kembali tangan dia orang seolah-olah jijik akibat peluh yang membasahi tangan saya.

Kalau boleh, saya mohon penjelasan doktor tentang punca-punca berlakunya penyakit ini dan istilah perubatan bagi penyakit ini. Adakah ia boleh diubati dan berapakah pula kos yang terlibat untuk saya kembali normal? Di manakah boleh saya merujuk penyakit saya ini?

Semoga doktor dapat membantu saya menghadapi masalah yang merunsingkan fikiran saya ini sejak sekian lama. Terima kasih doktor.

Skutter Biru,
Pelabuhan Klang, Selangor

SOALAN 2:
Doktor, saya berusia 21 tahun dan menghadapi masalah perpeluhan yang berlebihan terutamanya di bahagian tapak tangan dan bawah lengan. Saya ada terbaca mengenai penyakit ini yang kalau tidak salah saya dikenali sebagai, hiperhidrosis?

Keadaan ini menyebabkan saya begitu malu untuk berdepan dengan orang ramai. Bolehkah doktor terangkan puncanya dan kaedah rawatannya serta adakah ubat yang khusus untuk mengubati penyakit ini?

Rosiah


JAWAPAN:
Masalah perpeluhan yang berlebihan terutama di bahagian tapak tangan dan bawah lengan di dalam istilah perubatannya lebih dikenali sebagai hiperhidrosis.

Hiperhidrosis dibahagikan kepada dua jenis iaitu primer (atau idiopatik iaitu tidak diketahui puncanya) dan hiperhidrosis sekunder yang disebabkan oleh penyakit-penyakit lain seperti hypertiroidism, kencing manis/diabetes, tuberkulosis/batuk kering, obesiti, kehamilan serta menopaus.

Hiperhidrosis primer biasa berlaku pada individu dewasa berumur antara 20 hingga 50 tahun, tetapi ia boleh bermula lebih awal iaitu ketika kanak-kanak atau remaja.

Punca sebenar hiperhidrosis primer tidak diketahui dengan tepat. Ia mungkin disebabkan oleh penyakit ekrin kelenjar peluh di seluruh badan, tetapi paling banyak di tapak tangan dan kaki.

Kemungkinan kedua adalah aktiviti saraf simpatetik keterlaluan yang memberi rangsangan kepada kelenjar peluh normal, menyebabkan kelenjar menghasilkan peluh secara berlebihan.

Terdapat beberapa cara untuk mengatasi masalah ini manakala jenis rawatannya pula bergantung kepada tahap masalah.

* Rawatan topikal: Jika masalah hanya sedikit, penggunaan ubat sapu atau antipeluh yang mengandungi 12 hingga 20 peratus aluminium klorida boleh membantu mengurangkan peluh.

* Rawatan sistemik: Ubat makan mengandungi agen antikolinergik seperti glycopyrrolate dan amitriptyline boleh mengehadkan aktiviti saraf simpatetik dan ini mengurangkan pengeluaran peluh yang berlebihan.

* Suntikan Botulinum Toksin A (Botoks): Suntikan Botoks juga digunakan untuk merawat hiperhidrosis aksilari dengan melumpuhkan saraf yang merangsang kelenjar peluh.

* Iontoforesis: Iontoforesis adalah kaedah di mana air mengalirkan arus elektrik dari alat khas melalui permukaan kulit dan ini menyebabkan produksi kelenjar peluh terencat.

* Pembedahan simpatektomi torasik endoskopi (endoscopic transthoracic sympathectomy/ETS): Pembedahan dilakukan dengan memotong (clipping) saraf simpatetik yang merangsang kelenjar peluh terlibat.

Suka saya menasihatkan baik Rosiah, Skutter Biru atau para pembaca lain yang menghadapi masalah serupa agar mendapatkan nasihat dan pandangan daripada doktor pakar kulit (pakar dermatologi) terlebih dahulu untuk memastikan sebab dan rawatan yang tepat.


Ditulis oleh:
Dr Noraziah Andul Kadir Jailani

Pakar Perubatan Am dan Dermatologi,
Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥

Ok...dah tahu kan apa hiperhidrosis tu...Kadang-kadang kita buat tak kisah jer kan...tapi sebenarnya hiperhidrosis ni suatu penyakit rupanya....