Isnin, 5 Januari 2015

APA ITU ANTIOKSIDA?

Assalamualaikum warahmatullah...

Kita kerap mendengar perkataan antioksida...tetapi adakah kita tahu apakah yang dimaksudkan dengan antioksida? Mungkin artikel ini dapat meningkatkan pemahaman kita apa sebenarnya maksud antioksida...

kredit to: http://www.myhealth.gov.my/
Penulis  : Munira Bt Muhammad

Apakah itu antioksida?
Antioksida adalah bahan yang mengurangkan, meneutralkan serta melindungi sel badan daripada kerosakan akibat radikal bebas dan ia juga boleh dianggap sebagai barisan pertahanan terhadap risiko mendapat sesetengah penyakit.
Radikal bebas adalah hasil sampingan yang sangat reaktif yang terhasil daripada proses kimia yang berlaku dalam badan. Bahan ini boleh memudaratkan serta merosakkan sel dan tisu badan. Ia juga dianggap sebagai penyebab kanser, penyakit jantung dan lain-lain penyakit. Dalam badan, radikal bebas boleh dibentuk melalui proses yang dinamakan pengoksidaan dan terdapat banyak faktor luaran yang boleh mempengaruhi jumlah radikal bebas seperti pendedahan kepada cahaya matahari, pencemaran asap, bakteria berbahaya, asap rokok dan pemakanan yang kurang sihat.
Lazimnya, badan kita boleh mengendalikan radikal bebas, tetapi jika jumlahnya adalah berlebihan, ia mungkin boleh merosakkan sel dan tisu badan. Kerosakan akibat radikal bebas juga boleh terkumpul selari dengan peningkatan usia.
Di manakah antioksida boleh ditemui?
Badan kita menghasilkan antioksida dengan sendirinya, tetapi apabila usia kita meningkat, kebolehan badan untuk menghasilkan antioksida akan berkurangan. Oleh yang demikian, kita memerlukan antioksida daripada sumber luaran. Antioksida terdapat secara semula jadi dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan juga makanan-makanan lain termasuklah kekacang, bijirin, ayam, sesetengah daging dan ikan. Bahan antioksida termasuklah beta karotena, lutein, likopena (lycopene). selenium, vitamin C dan vitamin E. Sumber antioksida yang selalu ditemui adalah:
1.     Beta karotena
Beta karotena adalah prekursor bagi vitamin A (retinol). Ia lazimnya ditemui dalam kebanyakan makanan yang berwarna oren atau jingga seperti aprikot, lobak merah, labu, mangga, ubi keledek, dan buah pic. Ia juga terdapat dalam sayur-sayuran berdaun hijau termasuklah bayam dan brokoli.
2.     Lutein
Lutein sering kali dikaitkan dengan mata yang sihat. Ia terdapat dalam kuantiti yang banyak dalam sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, kubis dan kailan. Kombinasi lutein dengan zeaxantin dan buah bilberi boleh memberi kesan antioksida yang signifikan. Tambahan lagi, apabila digabungkan dengan vitamin C, kombinasi antioksida ini telah menunjukkan hasil yang signifikan dalam mengurangkan risiko mendapat penyakit katarak.
3.     Likopena (Lycopene)
Likopena adalah antioksida yang efektif yang ditemui dalam betik, jambu batu, tembikai, tomato, aprikot, limau gedang, dan buah oren.
4.     Selenium
Selenium adalah mineral dan merupakan komponen bagi enzim antioksida. Ia bukanlah nutrient antioksida. Di kebanyakan negara, tumbuhan makanan seperti nasi dan gandum merupakan sumber utama. Selenium yang digabung dengan glutathione boleh menghentikan tumbesaran tumor dan melindungi hati. Sesetengah kacang seperti kacang Brazil mengandungi kandungan selenium yang tinggi.
5.     Vitamin C
Vitamin C, yang juga dikenali sebagai asid askorbik, merupakan vitamin larut air. Vitamin C adalah antioksida yang ditemui dalam buah-buahan citrus dan jusnya, bayam, brokoli, kiwi, strawberi, kranberi, kubis dan lada hijau. Ia juga terdapat dalam bijirin, daging, ayam, dan ikan. Para penyelidik telah mendapati bahawa jus kranberi boleh meningkatkan tahap antioksida serta tahap kolesterol baik dalam darah, maka ia boleh membantu untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.
6.     Vitamin E
Vitamin E yang juga dikenali sebagai alfa-tokoferol (alpha-tocopherol) dan terdapat dalam pelbagai jenis minyak termasuklah minyak germa gandum, minyak jagung dan minyak kacang soya. Ia juga ditemui dalam apricot, brokoli, kekacang, mangga dan makanan-makanan lain. Peningkatan pengambilan vitamin E boleh membantu untuk mengurangkan risiko mengalami penyakit Parkinson. Selain itu, kombinasi vitamin A, vitamin E dan karotenoid boleh menambah baik pertahanan oksida dan sistem imunisasi. Vitamin E (untuk kumpulan tocotrienol sahaja) juga menunjukkan aktiviti antikanser yang signifikan.
Apakah faedah serta kebaikan antioksida?
Penyelidikan yang lebih mendalam perlu dijalankan untuk mengenal pasti faedah antioksida kepada kesihatan manusia. Masih belum terdapat bukti bagi faedahnya, dan bukti-bukti penggunaan vitamin antioksida untuk mengurangkan penyakit kronik juga masih dalam peringkat awal penyelidikan.
Kesimpulan
Antioksida digunakan secara meluas sebagai bahan dalam pemakanan tambahan kesihatan dengan harapan untuk mengekalkan kesihatan dan mencegah penyakit seperti kanser dan penyakit jantung koronari. Kajian awal yang telah dijalankan mencadangkan bahawa pemakanan tambahan antioksida mungkin boleh menggalakkan kesihatan yang baik, walaupun kajian percubaan klinikal yang lebih besar tidak dapat mengesan sebarang faedah. Walau bagaimanapun, diet yang kaya dengan sayur-sayuran dan buah-buahan boleh menambah baik kesihatan serta meningkatkan kesejahteraan secara umumnya. Oleh yang demikian:
  • Makanlah pelbagai jenis bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kuantiti yang berpatutan daripada bergantung kepada pemakanan tambahan dengan beberapa antioksida.
  • Lakukan senaman bersesuaian dan makan diet yang seimbang melalui lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari untuk membekalkan komponen yang diperlukan serta membantu badan kita untuk membina sistem antioksida secara semula jadi. Cara ini merupakan cara yang terbaik untuk memastikan pengambilan nutrien antioksida yang mencukupi.
  • Bahan-bahan lain yang terdapat dalam sumber antioksida semula jadi memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan yang baik.
  • Sebelum mengambil sebarang pemakanan tambahan antioksida, pastikan risiko serta faedah yang bakal diperolehi.
  • Bagi sesetengah antioksida, kepekatan yang tinggi boleh memberikan kesan toksik, maka elakkan mengambil suplemen secara berlebihan.