Isnin, 10 Mac 2014

Cerita Tentang Air

Assalamualaikum semua pembaca...

Seringkali saya tertanya-tanya akan keperluan minum air 3 liter sehari. Maklumlah saya ni agak kurang minum air kosong.

Kadang-kadang bawak botol air penuh ke sekolah, tapi bila balik masih ada separuh dan kadang-kadang sikit sangat yang saya minum.

Artikel ni saya kongsikan bersama-sama pembaca yang saya perolehi dari web Dr Zubaidi.

Semoga bermanfaat buat kita semua...selamat membaca.

CERITA TENTANG AIR

Kembali kepada asas. Itulah yang sering saya katakan kepada pesakit saya. Minumlah air sebanyaknya kerana ia adalah ubat yang paling mujarab.

Bila berbicara tentang air, teringat cerita seorang kawan. Di saat suatu negeri dilanda panas terik dan ramai yang sakit akibat kepanasan itu, ramai yang putus harap.

Lalu mereka berjumpa seorang tabib yang terkemuka di negeri itu.

Mereka bertanya kepada tabib, ”Wahai tabib, apa yang harus kami lakukan untuk mengelak bala bencana di negeri ini?”

Lalu tabib itu menasihatkan ”Minumlah banyak air !”

”Berapa banyakkah air yang harus diminum sehari?”  Tanya mereka beramai-ramai.

Si tabib seolah-olah memberikan fatwa. “Lapan gelas sehari”

Maka ramailah yang cuba minum sebanyak lapan gelas sehari. Ada yang minum sekali teguk, ada yang minum sedikit sedikit.

Malah yang pelik atas kejahilan mereka, anak kecil juga dipaksa minum lapan gelas sehari, “kerana itu adalah fatwa tabib”

Akibatnya mereka terselamat dari mati kehausan, tetapi mengalami masalah kerap kencing, kekejangan, kembung perut dan ada yang sukar bernafas akibat menelan terlalu banyak air.

Keperluan Air

Perlukah kita minum air sebanyak lapan gelas setiap hari? Berdasarkan pengalaman, ramai yang merungut kerana terpaksa ke toilet setiap 30 minit.

Baru-baru ini saya terbaca satu artikel membicarakan mengenai isu ini. Ianya mengulas keperluan air yang harus diminum oleh seorang dewasa.

Ramai bertanya soalan kepada saya “Mengapa lapan gelas? Mengapa tidak lebih atau kurang? Dari mana nombor ajaib ini datang?”

Pada tahun 1945, National Academy of Sciences of the United States Food and Nutrition Board, telah menerbitkan satu cadangan pengambilan nutrient yang harus diambil setiap hari.

Ia mencadangkan: “Pengambilan air yang digalakkan bagi seorang dewasa ialah 2.5 liter (kira-kira 8 gelas) setiap hari.”

Jumlah 2.5L ini berdasarkan kiraan satu milliliter air diperlukan untuk setiap kalori makanan yang diambil. (Kita memerlukan kira-kira 2500 cal setiap hari).

Namun begitu harus diingat bahawa air juga terdapat di dalam makanan. Malah kacang kering juga mempunyai sedikit jumlah air di dalamnya.

Malah, apabila makanan yang kita makan dihadamkan, ianya akan bertukar kepada tenaga, karbon dioksida dan air.

Mengapa air sangat perlu?

Ketika kita makan, injap pyloric yang berada di hujung perut kita akan mengecut menyebabkan makanan berada di dalam perut untuk beberapa lama bagi tujuan penghadaman.

Air yang diminum digunakan untuk menjadikan makanan ini menjadi cecair. Setelah makanan menjadi lembut ianya akan dihantar ke usus untuk tujuan serapan.

Jika kita tidak minum cukup air, perut akan mengambil cecair dari darah, perut dan usus agar makanan yang hendak diproses akan menjadi lembik dan cair sebelum dihantar ke usus kecil.

Apabila di usus besar (colon) najis biasanya menjadi lembut. Jika air dalam tubuh tidak mencukupi akibat dehidrasi, tubuh akan menyerapkan air daripada najis, menyebabkannya mengeras dan seseorang itu mengalami sembelit (constipation).

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of the American College of Nutrition menunjukkan meminum air kosong tidak menjadi keperluan selagi ia meminum air-air lain dan makanan yang berair seperti sup dan bubur.

Maka para saintis menyarankan jumlah air yang harus diminum oleh seorang dewasa ialah segelas air bagi setiap kali makan (meal). Namun jka ada keperluan lain, seseorang itu haruslah meminum air yang lebih banyak.

Sebagai contoh, jika ada masalah sembelit, minumlah air yang lebih.

Air juga digunakan untuk menggantikan keringat yang keluar, terutama apabila cuaca panas atau seseorang membuat aktiviti lasak di luar.

Minumlah apabila berasa haus, dan janganlah memaksa seseorang untuk meminum air 8 gelas sehari. Minum terlalu banyak air juga boleh membahayakan diri dan menyebabkan hyponatremia.

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (260810)
Credit to : drzubaidi.com/blog

Ahad, 2 Mac 2014

MENGAPA KITA PERLU AMBIL SUPPLEMEN?

Assalamualaikum buat semua pembaca budiman...

Entry hari ini kita berkongsi pula mengapa tubuh badan kita perlu kepada suplemen atau makanan tambahan...

Selamat membaca..

1. Badan kita memerlukan dos vitamin yang lebih tinggi dari apa yang boleh diperolehi daripada makanan. Contohnya vitamin C & E yang diperolehi daripada makanan. sahaja tidak mencukupi untuk memberi kesan pencegahan dan anti penuaan.

2. Buah-buahan dan sayuran yang ditanam di atas tanah yang tidak subur mengandungi bahan dan galian yang kurang berbanding dengan buah dan sayuran dari tanah yang subur. Racun perosak, racun serangga dan bahan pencemar mempengaruhi kualiti buah dan sayuran tersebut

3. Zat makanan mudah hilang semasa proses pengangkutan, penyimpanan dan penyediaan. Vitamin C dan enzim mudah dimusnahkan oleh haba semasa dimasak.

4. Pengambilan pil penahan sakit, laksatif, ubat-ubatan, alkohol dan antibiotik boleh mengganggu penyerapan zat makanan. Amalan diet yang tinggi kafein, lemak, kolesterol, gula dan garam dapat mengurangkan simpanan zat makanan di dalam tubuh.

5. Pengambilan makanan seharian yang tidak seimbang serta tidak mengikut piramid makanan yang dicadangkan.

6. Gaya hidup dan trend masa kini dengan kehidupan yang sibuk, jarang memasak di rumah dan lebih gemar kepada makanan segera yang tinggi kandngan MSG.

7. Bagi yang bekerja, makanan tengahari selalunya di luar dan malam memasak seringkas mungkin, maka pengambilan makanan seimbang tidak dititikberatkan.

Jumaat, 28 Februari 2014

SUPLEMEN UNTUK KEHIDUPAN

Assalamualaikum warahmatullah...

Selamat malam semua... syamil dah tidur..jadi masa untuk berkongsi sesuatu dengan pembaca semua...

Artikel ni saya ambil dari Utusan Malaysia berkaitan suplemen dalam kehidupan kita...semoga bermanfaat buat semua...Selamat membaca...


Obses terhadap makanan tambahan atau suplemen tanpa mengetahui maksud dan fungsi sebenarnya untuk tubuh badan hanya akan membawa keburukan berbanding kebaikan yang cuba dicari.

Pakar pemakanan dari Hospital Pakar Perdana KPJ, Kelantan, Rose Hanizan Mat Hassan berkata, suplemen merupakan makanan tambahan bukannya sebagai makanan gantian kepada pemakanan seharian sebagaimana tanggapan individu selama ini.

Katanya, secara umum suplemen merupakan makanan tambahan dalam bentuk minuman atau makanan.

Suplemen boleh wujud dalam bentuk sama ada vitamin, mineral, herba atau tumbuhan lain, atau komponen dalam makanan yang kita makan setiap hari. Ia juga boleh wujud dalam bentuk pil, kapsul, cecair, atau tablet.

“Jika dilihat di sekeliling kita, suplemen dijual dengan meluas . Semua orang boleh mendapatkannya sama ada di farmasi, kedai makanan kesihatan, pasar raya, melalui online di Internet dan sebagainya.

“Badan kita sememangnya memerlukan vitamin dan mineral sebagai tambahan untuk memastikan ia bergerak aktif, seperti vitamin C, bagus untuk kulit serta vitamin E, asid amino, zink dan sebagainya.

‘‘Makanan tambahan seperti itu yang kita perlukan dan diambil setiap hari untuk memestikan kulit cantik dan gebu. Cara pengambilan adalah bergantung kepada pengguna. Sama ada melalui minuman atau kapsul," jelas Rose Hanizan.

Tambah Rose Hanizan lagi, sekiranya seseorang ingin memilih makanan tambahan untuk diri sendiri, individu tersebut perlu pastikan kenapa dia perlu mengambil makanan tambahan tersebut dan kepentingan suplemen tersebut kepada kesihatannya.

“Kita perlu tahu adakah penting suplemen tersebut untuk penyakit yang kita hadapi. Kita perlu ingat makanan tambahan tidak akan menyembuhkan sesuatu penyakit tetapi ia boleh membantu mengekalkan kesihatan.

‘‘Kandungan nutrisi dalam setiap makanan tambahan yang diambil juga penting untuk diketahui dan perlu dipastikan ia mematuhi piawaian Recommended Nutrient Intake (RNI) Malaysia 2005.

“Pengguna dinasihatkan mendapat khidmat nasihat doktor yang bertauliah atau pakar pemakanan (dietitian) mengenai pengambilan makanan tambahan," katanya.

Kandungan nutrisi daripada makanan tambahan merupakan nutrien surih yang badan perlukan kerana ia bukan makanan utama seharian kita tetapi memainkan peranan penting kepada badan kita.

Sekiranya berlebihan ia boleh memudaratkan kesihatan malah boleh membawa kepada penyakit lain.

Senaman juga penting. Rose Hanizan turut mengingatkan bahawa senaman juga penting untuk mengekalkan tahap kesihatan di samping mengambil suplemen lain seperti asid amino, vitamin C, vitamin E, serta beberapa jenis mineral.

“Antara tip untuk memilih makanan tambahan ialah pastikan keadaan kesihatan betul-betul memerlukan suplemen tersebut.

“Di samping jika tubuh benar-benar memerlukan makanan tambahan lebih digalakkan untuk memilih suplemen yang terhasil daripada bahan-bahan organik dan semula jadi yang tiada tambahan bahan kimia selain halal.

“Selagi suplemen tersebut tidak melebihi dos dan mengikut kepada keperluan nutrisi harian kita, ia tidak menjadi masalah.

“Sebaliknya jika diambil dalam dos yang berlebihan, kemungkinan menyebabkan keracunan pada tubuh.

“Jadi pastikan mendapat nasihat daripada pakar sebelum mengambil sesuatu makanan tambahan," tegas Rose Hanizan lagi.

Beliau juga menasihatkan pengguna yang ingin mengambil makanan tambahan untuk kecantikan agar berhati-hati kerana kesan sampingan tidak nampak dalam masa yang singkat.

Kebarangkalian ia memberi kesan dalam jangka masa yang lama iaitu selepas bertahun - tahun penggunaan tetap ada.

Paling penting pastikan suplemen tersebut di luluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Jangan terlalu obses dengan sesuatu produk yang kita tidak ketahui kandungan nutrisi produk tersebut.

“Dapatkan dari nasihat yang pakar untuk semua produk tersebut terutamanya seperti produk pelangsingan badan," ujarnya.