Ahad, 10 Mei 2015

MERAMAL WAKTU SUBUR MELALUI MUKUS SERVIKS

Assalamualaikum warahmatullah...

Untuk merancang kehamilan adalah penting untuk kita mengetahui waktu puncak kesuburan kita. Ada banyak cara untuk menentukan waktu subur kita. Antaranya adalah menggunakan kiraan kitaran haid dan juga menggunakan termometer untuk mengetahui suhu badan. Tapi kali ni saya nak kongsi dengan pembaca semua cara yang saya rasa paling mudah hendak mengetahui waktu subur kita. Sama ada kita hendak hamil atau kita sedang merancang untuk menjarakkan kelahiran, cara ini bolehlah digunakan.


Kaedah yang saya maksudkan ialah dengan mengetahui keadaan mukus serviks kita. Pada saya kaedah ini adalah cara paling mudah untuk kita ketahui tahap kesuburan kita kerana ia sangat dekat dengan kita. 

Bagaimana nak periksa mukus serviks?

Untuk memeriksa mukus serviks, masukkan jari yang bersih ke dalam faraj ke arah serviks. Anda mungkin dapat melihat lebih banyak mukus jika memeriksanya selepas membuang air besar.

Bagaimana rupa mukus serviks?

Kita akan lihat satu-persatu bagaimana rupa mukus serviks semasa subur dan tidak subur. Harap ia dapat membantu untuk menentukan waktu subur anda dan merancang kehamilan anda dengan sebaiknya.

MUKUS SERVIKS PUTIH TELUR : SUBUR


Mukus ini dipanggil mukus putih telur kerana rupanya yang seperti putih telur. Selalunya selepas haid, kita akan mendapati peningkatan jumlah mukus yang lebih lembap dan lebih licin selepas beberapa hari. Mukus serviks seperti putih telur adalah waktu paling subur di antara semua jenis mukus serviks yang lain. Mukus ini mempunyai ciri yang membolehkan sperma berenang dengan mudah ke serviks. Ia kelihatan seperti putih telur mentah dan boleh di tarik sehingga kira-kira 5 cm tanpa putus.

MUKUS SERVIKS BERAIR : SUBUR


Mukus serviks akan menjadi lembab dan berair apabila ovulasi semakin hampir. Mukus jenis ini membolehkan sperma bergerak pantas ke dalam serviks. Apabila mukus berair, kita mungkin akan merasa seolah-olah kita telah terkencing dalam panties. Mukus jenis ini jernih atau mengalir pada jari kita.

MUKUS SERVIKS BERKRIM : TIDAK SUBUR


Selepas ovulasi, mukus serviks tidak lagi basah atau licin. Mukus berkrim ini dianggap tidak subur kerana ia amat menyekat pergerakkan sperma. Mukus ini kelihatan seperti kuning telur atau putih berkilau seperti mutiara. Ia agak tebal dan berasa seperti losyen apabila disapu di antara jari.

MUKUS SERVIKS MELEKIT : TIDAK SUBUR


Dalam tempoh sehingga haid datang, mukus serviks menjadi melekit. Mukus serviks jenis ini adalah mukus serviks paling tidak subur. Ia tebal, pekat dan melekit. Sperma sangat sukar untuk berenang dalam keadaan mukus seperti ini.

Inilah empat jenis mukus yang perlu kita ketahui dalam menentukan waktu subur kita. Untuk mengetahui dan memahami kitaran haid kita cubalah catatkan perubahan mukus serviks untuk beberapa bulan berturut-turut. Ia mungkin dapat membantu kita menentukan waktu subur kita.

Sekian dulu buat kali ini, saya nak solat subuh dulu..

Salam Sayang..





Tiada ulasan:

Catat Ulasan