Assalamualaikum warahmatullah...
Kita kerap mendengar perkataan antioksida...tetapi adakah kita tahu apakah yang dimaksudkan dengan antioksida? Mungkin artikel ini dapat meningkatkan pemahaman kita apa sebenarnya maksud antioksida...
kredit to: http://www.myhealth.gov.my/
Penulis : Munira Bt Muhammad
Penulis : Munira Bt Muhammad
Apakah itu
antioksida?
Antioksida adalah bahan yang
mengurangkan, meneutralkan serta melindungi sel badan daripada kerosakan akibat
radikal bebas dan ia juga boleh dianggap sebagai barisan pertahanan terhadap
risiko mendapat sesetengah penyakit.
Radikal bebas adalah hasil sampingan
yang sangat reaktif yang terhasil daripada proses kimia yang berlaku dalam
badan. Bahan ini boleh memudaratkan serta merosakkan sel dan tisu badan. Ia
juga dianggap sebagai penyebab kanser, penyakit jantung dan lain-lain penyakit.
Dalam badan, radikal bebas boleh dibentuk melalui proses yang dinamakan
pengoksidaan dan terdapat banyak faktor luaran yang boleh mempengaruhi jumlah
radikal bebas seperti pendedahan kepada cahaya matahari, pencemaran asap,
bakteria berbahaya, asap rokok dan pemakanan yang kurang sihat.
Lazimnya, badan kita boleh
mengendalikan radikal bebas, tetapi jika jumlahnya adalah berlebihan, ia
mungkin boleh merosakkan sel dan tisu badan. Kerosakan akibat radikal bebas
juga boleh terkumpul selari dengan peningkatan usia.
Di manakah
antioksida boleh ditemui?
Badan kita menghasilkan antioksida
dengan sendirinya, tetapi apabila usia kita meningkat, kebolehan badan untuk
menghasilkan antioksida akan berkurangan. Oleh yang demikian, kita memerlukan
antioksida daripada sumber luaran. Antioksida terdapat secara semula jadi dalam
buah-buahan, sayur-sayuran dan juga makanan-makanan lain termasuklah kekacang,
bijirin, ayam, sesetengah daging dan ikan. Bahan antioksida termasuklah beta
karotena, lutein, likopena (lycopene). selenium, vitamin C dan vitamin E.
Sumber antioksida yang selalu ditemui adalah:
1. Beta karotena
Beta karotena
adalah prekursor bagi vitamin A (retinol). Ia lazimnya ditemui dalam kebanyakan
makanan yang berwarna oren atau jingga seperti aprikot, lobak merah, labu,
mangga, ubi keledek, dan buah pic. Ia juga terdapat dalam sayur-sayuran berdaun
hijau termasuklah bayam dan brokoli.
2. Lutein
Lutein sering kali
dikaitkan dengan mata yang sihat. Ia terdapat dalam kuantiti yang banyak dalam
sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, kubis dan kailan. Kombinasi lutein
dengan zeaxantin dan buah bilberi boleh memberi kesan antioksida yang
signifikan. Tambahan lagi, apabila digabungkan dengan vitamin C, kombinasi
antioksida ini telah menunjukkan hasil yang signifikan dalam mengurangkan
risiko mendapat penyakit katarak.
3. Likopena (Lycopene)
Likopena adalah
antioksida yang efektif yang ditemui dalam betik, jambu batu, tembikai, tomato,
aprikot, limau gedang, dan buah oren.
4. Selenium
Selenium adalah
mineral dan merupakan komponen bagi enzim antioksida. Ia bukanlah nutrient
antioksida. Di kebanyakan negara, tumbuhan makanan seperti nasi dan gandum
merupakan sumber utama. Selenium yang digabung dengan glutathione boleh
menghentikan tumbesaran tumor dan melindungi hati. Sesetengah kacang seperti
kacang Brazil mengandungi kandungan selenium yang tinggi.
5. Vitamin C
Vitamin C, yang
juga dikenali sebagai asid askorbik, merupakan vitamin larut air. Vitamin C
adalah antioksida yang ditemui dalam buah-buahan citrus dan jusnya, bayam,
brokoli, kiwi, strawberi, kranberi, kubis dan lada hijau. Ia juga terdapat
dalam bijirin, daging, ayam, dan ikan. Para penyelidik telah mendapati bahawa
jus kranberi boleh meningkatkan tahap antioksida serta tahap kolesterol baik
dalam darah, maka ia boleh membantu untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit
jantung.
6. Vitamin E
Vitamin E yang juga
dikenali sebagai alfa-tokoferol (alpha-tocopherol) dan terdapat dalam pelbagai
jenis minyak termasuklah minyak germa gandum, minyak jagung dan minyak kacang
soya. Ia juga ditemui dalam apricot, brokoli, kekacang, mangga dan
makanan-makanan lain. Peningkatan pengambilan vitamin E boleh membantu untuk
mengurangkan risiko mengalami penyakit Parkinson. Selain itu, kombinasi vitamin
A, vitamin E dan karotenoid boleh menambah baik pertahanan oksida dan sistem
imunisasi. Vitamin E (untuk kumpulan tocotrienol sahaja) juga menunjukkan
aktiviti antikanser yang signifikan.
Apakah faedah serta
kebaikan antioksida?
Penyelidikan yang lebih mendalam
perlu dijalankan untuk mengenal pasti faedah antioksida kepada kesihatan
manusia. Masih belum terdapat bukti bagi faedahnya, dan bukti-bukti penggunaan
vitamin antioksida untuk mengurangkan penyakit kronik juga masih dalam
peringkat awal penyelidikan.
Kesimpulan
Antioksida digunakan secara meluas
sebagai bahan dalam pemakanan tambahan kesihatan dengan harapan untuk
mengekalkan kesihatan dan mencegah penyakit seperti kanser dan penyakit jantung
koronari. Kajian awal yang telah dijalankan mencadangkan bahawa pemakanan
tambahan antioksida mungkin boleh menggalakkan kesihatan yang baik, walaupun
kajian percubaan klinikal yang lebih besar tidak dapat mengesan sebarang
faedah. Walau bagaimanapun, diet yang kaya dengan sayur-sayuran dan buah-buahan
boleh menambah baik kesihatan serta meningkatkan kesejahteraan secara umumnya.
Oleh yang demikian:
- Makanlah pelbagai jenis bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kuantiti yang berpatutan daripada bergantung kepada pemakanan tambahan dengan beberapa antioksida.
- Lakukan senaman bersesuaian dan makan diet yang seimbang melalui lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari untuk membekalkan komponen yang diperlukan serta membantu badan kita untuk membina sistem antioksida secara semula jadi. Cara ini merupakan cara yang terbaik untuk memastikan pengambilan nutrien antioksida yang mencukupi.
- Bahan-bahan lain yang terdapat dalam sumber antioksida semula jadi memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan yang baik.
- Sebelum mengambil sebarang pemakanan tambahan antioksida, pastikan risiko serta faedah yang bakal diperolehi.
- Bagi sesetengah antioksida, kepekatan yang tinggi boleh memberikan kesan toksik, maka elakkan mengambil suplemen secara berlebihan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan